06 Mei 2008

Melayu Tersisih Jika Tidak Endah Kualiti Ilmu

Oleh Professor Dr Sidek Baba


KONSEP umat Melayu dalam maksud umat teras dalam politik dan pemerintahan di Malaysia mempunyai asas sejarah serta budaya yang kuat. Meskipun zaman berubah dan banyak faktor teras terjejas, memperkasa umat Melayu perlu diteruskan.

Ini termasuk dalam pemahaman dan penghayatan agama, penguasaan ekonomi seimbang, pembangunan modal insan cemerlang dan berkualiti, menampilkan kualiti kepemimpinan serta kepengikutan yang terpancar daya keadilan dan amanah yang tinggi.

Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding daripada sumber ilmu, budaya dan tamadun orang lain tetapi maksud umat Melayu merujuk kepada tamadun Islam yang harus mampu membangunkan jiwa berfikir di kalangan penganutnya. Umat Melayu sama ada kepemimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.

Atas sifat suatu bangsa semata-mata, ia tidak memiliki keteguhan sifat nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan. Islam dan al-Quran yang memancarkan nilai alamiah mampu dijadikan landasan teguh bagaimana makna amanah dalam kepemimpinan dapat diolah, adil dalam pengurusan sistem dapat berlaku, jujur dalam kata-kata dan amalan dapat berjalan dan ikhlas dalam amal dan perbuatan boleh terjadi. Puncak kepada sifat nilai disandarkan kepada yang Maha Mengetahui iaitu Allah.

Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata, tidak memandu untuk memberikan pedoman membangunkan umat dalam erti kata luas. Apabila konsep umat dalam hubungan umat pertengahan memberi landasan kepada bangsa Melayu untuk menjadi umat terbaik.

Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia. Sebarang perbincangan di kalangan orang Melayu mengenai keunggulan umat teras perlu dikaitkan dengan Islam sebagai agama pendukung tamadun.

Jika tidak, sifat sesuatu bangsa itu akan menjadi kosong dan hampa kerana kandungan ilmu serta rohaniahnya kontang. Hanya bangsa yang mempunyai upaya berkenalan yang tinggi saja mampu melahirkan kecemerlangan pada jiwa dan jatidiri bangsanya.

Oleh itu, baik kongres mahupun simposium yang menjuruskan perbincangan mengenai kepentingan umat Melayu sebagai teras harus jelas dengan sifat nilai yang ingin dikembangkan. Jika sifat nilai bangsa terpancar secara kaumiyyah ia tidak banyak membantu bagi meletakkan kedudukan bangsa yang penuh dengan cabaran persaingan.

Apa lagi faktor bangsa yang didekati dengan fahaman sekular dan liberal, bangsa Melayu tidak lebih sebagai penciplak dan pengguna setia terhadap tamadun kebendaan Barat dan ia tidak juga memperkasa umat Melayu secara jangka panjang.

Hari ini kemelut yang ditanggung oleh umat Melayu ialah hilangnya rasa percaya terhadap sistem kepemimpinan yang menyebabkan orang Melayu mencari alternatif.

Kebangkitan generasi cerdik pandai Melayu yang lahir sekitar 80-an dan 90-an dalam bidang dakwah dan Islam sedang menempatkan diri dalam sistem sama ada pemerintahan mahupun di bidang profesional.

Jika dasar negara yang didukung oleh kepemimpinan Melayu tidak peka mengenai keperluan mengukuhkan kualiti ilmu dan penghayatan yang Islami ia boleh menyebabkan jurang pemikiran antara kelompok ini dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar menghadapi konflik.

Konflik itu akan memberi kesan kepada ketirisan wibawa umat Melayu sebagai umat teras. Perlu diwujudkan suatu sinergi bagaimana potensi ilmuwan dan profesional umpamanya diberi ruang yang luas mewujudkan sistem berasaskan orientasi Islami supaya tenaga yang ada dapat menyumbang ke arah pengukuhan dan kemajuan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Kemajmukan tidak harus menjadi suatu realiti menakutkan. Keperluan integrasi tidak hanya berlegar di sekitar faktor luaran di sekolah, pejabat atau dalam masyarakat secara luaran. Integrasi sebenar hanya boleh berlaku jika hubungan minda diperteguhkan, hubungan hati diperkukuh supaya setiap warga Malaysia berasa selesa dan yakin terhadap hala tuju pembangunan dan perubahan.

Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan, harus berlangsung suatu pembaharuan. Pembaharuan ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan diri ilmuwan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap ambil muda terhadap perubahan.

Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan mata rantai untuk memimpin perubahan pada masa kini supaya ia senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan. Pembaharuan tidak harus berlaku hanya dalam bentuk yang sifatnya luaran, tetapi harus mendasari akal dan hati.

Ini supaya daya intelektual tinggi lahir mencetuskan karya besar dalam pelbagai disiplin ilmu dan keupayaan untuk menawarkan kualiti kepemimpinan, terlihat pada dirinya gambaran amanah yang tinggi, cintakan keadilan dan ikhlas menyumbang ke arah memperkasa umat Melayu dan umat manusia.

Memperkasa umat Melayu bermula dengan contoh dan teladan yang tinggi supaya menjadi sumber ikutan baik di kalangan rakyat. Harus wujud suasana kebebasan memberikan pandangan membina supaya setiap pihak berasa selesa dengan kritikan membina untuk kebaikan semua.

04 Mei 2008

Kenapa Persalah Melayu Kerana Budaya?

Bersama Johan Jaaffar

Nilai-nilai murni pengurusan, sokongan boleh menjayakan mereka dalam perniagaan

MINGGU lalu saya membentangkan kertas kerja bertajuk '50 Tahun Merdeka: Sudah Berubahkah Minda Usahawan Melayu?' dalam simposium yang dianjurkan oleh PNB-MIDF sempena Minggu Amanah Saham di Melaka. Keseluruhan perbincangan saya ialah mengenai perlunya kita melihat semula nilai-nilai dalam masyarakat Melayu yang sepatutnya membolehkan mereka menjadi bangsa yang berjaya dan setanding dengan orang lain. Saya menghujahkan bahawa minda dan psyche Melayu bukan hambatan pada kejayaan mereka. Dan budaya Melayu bukan penyebab kegagalan mereka dalam pelbagai bidang.

Oleh kerana peserta simposium itu usahawan dan ahli perniagaan Melayu, saya yakinkan mereka bahawa bangsa Melayu punya sejarah dan budaya yang gemilang dan bahawa genius pemikiran Melayu terbukti melalui kreativiti dan tradisi keilmuan mereka.

Saya menyebutkan bahawa tidak ada bezanya bangsa Melayu dengan bangsa lain daripada segi kemampuan dan kecerdikan. Malah tidak benar bahawa orang Melayu inferior minda mereka berbanding kaum lain. Atau mereka tidak punya bakat dan kebolehan berbanding orang lain. Malah adalah tidak benar bahawa orang Melayu tidak ada minda perniagaan. Saya menolak hujah bahawa orang Melayu hanya berdagang dan berniaga selepas Tanah Melayu merdeka pada 1957 atau hanya selepas terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sebahagian besar peserta terdiri daripada generasi muda. Ramai yang menemui saya selepas pembentangan itu menyatakan kehairanan mereka mengapa aspek-aspek positif orang Melayu itu tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Mereka tidak mengetahui bahawa sejarah bangsa Melayu mengandungi cerita kehebatan dan kejayaan dalam pelbagai bidang. Dan bahawa sejarah kerajaan Melayu bukan hanya bermuat cerita penindasan dan kekejaman terhadap orang Melayu tetapi juga cerita kegemilangan tamadun dan tradisi keilmuan.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah semua nilai yang baik yang dikaitkan dengan bangsa Melayu itu sebenarnya dipinggirkan akibat begitu lamanya mereka berada dalam penjajahan (446 tahun sejak tumpasnya Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511). Penjajahan empat setengah abad itu tentulah mempengaruhi minda, sikap, nilai, harga diri dan psyche Melayu.

Kedatangan Inggeris membuka sedikit sebanyak peluang pada anak-anak Melayu mendapat pendidikan. Tetapi penjajahan tidak akan memberikan peluang seluas-luasnya pada mereka. Tambahan pula sistem ekonomi kolonial tidak memberikan mereka kesempatan untuk membuktikan kemampuan mereka dalam bidang perniagaan. Penjajah Inggeris menyelesaikan masalah ekonomi dengan membezakan kaum-kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka.

Benarkah orang Melayu tidak punya minda perniagaan? Saya menghujahkan hal itu dalam rencana saya sebelum ini (BM, 23 November 2003). Dalam sebuah lagi rencana lain saya juga menghujahkan bahawa orang Melayu mempunyai sejarah panjang dalam bidang perdagangan antarabangsa sejak awal abad yang pertama lagi (BM, 10 September 2006).

Memang kita mudah menyalahkan penjajah kerana kelemahan orang Melayu selama ini. Penjajah adalah alasan terbaik mengapa orang Melayu tidak mampu bersaing dengan orang lain. Kita lupa bahawa selepas merdeka, kuasa politik di tangan orang Melayu. Orang Melayulah yang akan menentukan nasib orang Melayu. Kita terlupa bahawa kegagalan orang Melayu sejak merdeka patut dipersalahkan juga pada pemimpin Melayu yang melaksanakan dasar untuk bangsa mereka.

Tetapi itukah keutamaan kita? Menuding jari mencari salah? Tidakkah kita harus 'move on' meminjam ungkapan bahasa Inggeris? Bagi saya tugas yang lebih besar pada masa ini ialah mengembalikan keyakinan bahawa orang Melayu boleh berbuat apa saja sekiranya mereka diberikan peluang dan kesempatan. Suatu ketika dulu anak-anak Melayu dikatakan lemah dalam bidang sains dan matematik. Hari ini sistem pendidikan kita melahirkan profesor dalam bidang matematik dan sains. Suatu waktu dulu kita menganggap orang kaya dalam masyarakat Melayu hanya setaraf dengan watak Marzuki dalam filem Penarik Beca dan Haji Bakhil dalam Labu dan Labi. Hari ini kita tahu orang Melayu bukan saja menjadi jutawan tetapi 'billionaire.' Konsep kekayaan di kalangan orang Melayu telah bertukar sama sekali akibat DEB. Suatu masa dulu kita mencurigai kemampuan anak-anak Melayu untuk menjadi profesional. Hari ini jumlah mereka begitu banyak.

Jadi, hujah bahawa orang Melayu sebenarnya tidak boleh berjaya dalam perniagaan tidak boleh diterima pakai. DEB memberikan peluang lebih besar kerana dasar itu cuba menyusun semula masyarakat yang selama ini kegiatan ekonominya digariskan oleh kaum. DEB bukan dasar perkauman. DEB adalah lonjakan yang diperlukan untuk membantu orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam bidang ekonomi dengan kaum-kaum lain, tanpa merompak hak orang lain. Itulah semangat sebenar DEB.

Soalnya mengapakah selepas lebih 38 tahun terlaksana dasar itu, kejayaannya masih dipersoalkan? Mungkin sudah sampai masanya tumpuan kita tidak lagi hanya pada aspek nyata yang bertolak dari angka mengenai peratus pemilikan ekuiti Melayu pada keseluruhannya. Sudah sampai masanya kita menumpukan perhatian pada cerita kejayaan sekian ramai ahli perniagaan dan usahawan Melayu selama ini. Merekalah yang menulis semula hukum hakam perniagaan orang Melayu yang selama ini hanya dikatakan mampu berjual pisang goreng, nasi campur dan keropok lekor.

Apa yang dilupakan oleh ramai orang ialah bahawa orang Melayu mempunyai sikap dan minda yang betul untuk berjaya dalam perniagaan. Pandangan dunia orang Melayu tidak pernah seperti katak di bawah tempurung. Nilai Melayu seperti yang tertera dalam peribahasa, simpulan dan bidalan menunjukkan mereka bukan bangsa yang bersikap defeatist dan mudah menyerah kalah.

Ada pihak yang menyalahkan budaya Melayu kerana kelemahan mereka. Soalnya apakah kita juga percaya dengan mitos pribumi malas yang dihujahkan oleh orang lain? Malaskah sebenarnya orang Melayu? Apakah pemerhatian Abdullah Munshi pada abad ke-19 masih relevan hari ini? Apakah semata-mata kerana wujud peribahasa seperti 'kalau dah secupak takkan jadi segantang' menunjukkan sikap puas hati dan penyerahan pada takdir dan suratan? Apakah peribahasa 'ulat dalam batu lagikan boleh hidup' membuktikan bahawa minda Melayu selalu lemah menyerah?

Mengapa tidak dilihat aspek positif dari semua itu? Bukanlah kehidupan masyarakat tradisional yang mencorakkan penghasilan peribahasa, pantun dan karya sastera? Bukankah semua itu cerminan dari masyarakat Melayu sendiri? Bukankah kehidupan pertanian yang sukar menjadikan mereka lebih filosofikal terhadap kesusahan dan kemelaratan diri? Dan bukankah kepercayaan agama mereka menjadikan mereka cekal, tawakal dan menyerahkan diri pada Takdir yang ditentukan oleh Allah?

Hari ini orang Melayu jauh lebih bernasib baik. Mereka mendapat pendidikan serta pendedahan lebih banyak. Maka itu nilai-nilai Melayu yang terbaik itu sudah sepatutnya dijadikan azimat untuk menempah kejayaan masa depan. Cukuplah penghinaan yang dilontarkan pada bangsa sendiri. Memadailah Malay-bashing yang nampaknya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Penjajah mendefinisikan Melayu berdasarkan persepsi dan keperluan mereka. Hari ini orang Melayu mulai memberikan definisi bangsa mereka sendiri menggunakan kayu ukur yang tidak jauh bezanya dengan penjajah.

Tidak ada salahnya menjadi kritikal terhadap bangsa sendiri. Tetapi ada bahayanya jikalau kita selalu dimomokkan dengan andaian bahawa orang Melayu lemah, berjiwa kecil dan gagal. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kita hanya mampu mencari salah dan kelemahan diri.

Inilah masanya untuk kita menggunakan sejarah dan budaya untuk memperagakan kemelayuan yang baru dan yakin. Bukan bangsa yang lemah dan mudah menyerah kalah.