Oleh TrailBlazerX
Definisi Melayu mengikut perlembagaan Malaysia adalah orang yang tinggal di Malaysia, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu. Secara amnya, orang Melayu, khususnya yang tinggal di Malaysia (dahulunya Persekutuan Tanah Melayu) sangat taat dan patuh pada agama dan pemimpin, terutama sekali sultan-sultan dan raja-raja Melayu.
Atas dasar taat pada institusi diraja, dan bagi menjaga kepentingan orang Melayu, maka lahirlah UMNO pada 11 Mei 1946. Secara ringkasnya UMNO bukanlah sebuah parti yang lahir di tepi jalan, tetapi UMNO dengan megahnya dilahirkan di Istana Johor, dan dianggotai oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bergabung pada masa itu.
Matlamat dan asas perjuangan UMNO adalah bagi menentang gagasan Malayan Union supaya kedaulatan institusi diraja dan hak-hak istimewa serta ketuanan Melayu terjaga. Misi awal penubuhan UMNO berjaya apabila gagalnya gagasan Malayan Union yang dicadangkan oleh pihak British pada masa itu. Orang Melayu ketika itu sangat bersemangat dan berani untuk menyatakan yang benar bagi mempertahankan hak-hak mereka. Mereka mengadakan pelbagai tunjuk perasaan bagi membantah Malayan Union. Pada masa itu belum lagi ada istilah ‘perhimpunan haram’ seperti yang selalu digembar-gemburkan oleh media masa kini.
Pada zaman inilah munculnya pemimpin-pemimpin yang berani menyuarakan pandangan ramai kepada pihak penjajah British, yang akhirnya terpaksa akur dengan kemahuan rakyat. Perjuangan UMNO tidak terhenti setakat itu sahaja, malah diteruskan pula dengan wawasan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara kita. Untuk tujuan ini, rakyat Malaysia, terutamanya Melayu telah bekerjasama supaya kemerdekaan dapat tercapai. Orang Melayu sanggup menggadai harta, malah kaum ibu sanggup menyerahkan perhiasan emas mereka bagi menanggung kos pelayaran menuntut kemerdekaan. Tidaklah harus dilupakan bahawa negara kita mencapai kemerdekaan dengan cara yang begitu unik sekali, tanpa pertumpahan darah atau persengketaan, tetapi hanya melalui rundingan. Perlu juga diingatkan bahawa fokus dan hala tuju negara selepas mencapai kemerdekaan perlulah selari dengan asas penubuhan negara Malaysia.
UMNO ditubuhkan dengan darah dan keringat nenek moyang kita. UMNO dilahirkan untuk menjaga kedaulatan institusi diraja dan menjaga hak orang Melayu.
UMNO dizahirkan untuk menyuarakan kebenaran, dan suara hati orang Melayu. Di dalam kita menjaga hak-hak orang Melayu, tidak perlulah kita bermusuh dengan bangsa lain yang tinggal di Malaysia. Tidak perlulah sebahagian daripada kita hendak tunjuk lagak ‘hero’ di depan mata rakyat, tetapi hanya pandai menjaga kepentingan diri di belakang tabir.
Bangsa lain juga mempunyai hak-hak mereka yang perlu dijaga oleh pihak pemerintah. Apa yang kita lakukan, biarlah bersederhana, dan janganlah kerana nyamuk seekor, kelambu pula dibakar, akibatnya katil juga akan terbakar sekali. Janganlah hanya pandai bermain kata-kata, yang akhirnya membelit diri. Katakan yang benar, hakikat kebenaran tidak akan berubah walaupun dibiar 1000 tahun. Pembohongan akan hanya menjerat diri, dan menyumbang kepada lebih banyak pembohongan.
Ketahuilah, orang munafik itu ada 3 tandanya. Apabila bercakap, ia berdusta. Jika berjanji, ia mungkiri. Kalau diberikan amanah, ia khianati. Orang yang sebegini hanya akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. di samping kehinaan di muka bumi. Andainya pemimpin bersifat munafik, maka dia akan dibenci, walau oleh pengikutnya sendiri. Sebaliknya, pemimpin yang bersifat benar, berani, amanah, berintegriti, kepimpinannya akan disanjung, dan dikenang sepanjang zaman. Dia bukan sahaja dihormati kawan, tetapi juga disegani lawan. Ada pepatah yang menyatakan hanya jauhari yang mengenal manikam, kerana ada ramai orang yang hatinya berpenyakit dan tidak dapat membezakan antara yang hak dan yang batil, dan masih memilih jalan yang membawa kehancuran walaupun jalan yang terang terpampang luas di depan mata. Biasanya jalan yang benar, umpama jalan yang membawa kita ke sebuah taman yang indah. Rumputnya menghijau, tetapi penuh dengan onak duri yang perlu ditempuhi. Jalan yang salah, walaupun kering kontang dan tidak berumput (terlalu ramai mengikut jalan ini, sehingga rumput tidak sempat tumbuh), tetapi tiada pula halangan yang terlihat dari pandangan kasar, maka ramailah yang mengikutinya.
Berbalik kepada perjuangan UMNO. Sekali lagi diingatkan, UMNO bukanlah hak milik peribadi mana-mana pemimpin. UMNO adalah hak orang Melayu. Allah S.W.T. memberikan kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia juga berhak menarik kuasa kerajaan yang Dia kehendaki. Sebelum padah yang lebih parah menimpa bangsa dan negara kita, adalah baik jika pemimpin UMNO bermuhasabah. Tanya pada diri, layakkah anda memimpin? Ingatlah pada negeri akhirat di mana tanggungjawab anda akan disoal, dan tanggungjawab anda begitu besar sekali. Jika anda berkuasa di dunia dan tiada siapa yang berani mempersoalkan tindak tanduk anda, bayangkanlah azab seksa akhirat bagi mereka yang mengabaikan tanggungjawab. Tanggungjawab dalam konteks ini tidaklah bermakna anda perlu terus menerus menjadi pemimpin kerana anda fikir itu makna tanggungjawab. Tanggungjawab yang sebenar adalah supaya anda memikul amanah untuk menilai samada diri anda masih layakkah menjadi pemimpin? Mana satukah jalan yang anda rasa anda ikuti.. jalan kebenaran.. atau jalan kemusnahan? Ketahuilah, yang berkuasa di dunia ini tidaklah akan berkuasa selama-lamanya. Janganlah biarkan api dalam sekam yang berbara di hati rakyat, khususnya orang Melayu terus membara dan mengakibatkan kebakaran besar yang tak dapat dibendung.
Mala petaka yang mungkin berlaku bukannya perpecahan UMNO. Jika sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam UMNO, ia pasti dapat dicapai secara intelektual oleh ahli kerana orang UMNO bukannya dungu dan dapat ditipu sesuka hati. Mala petaka yang dimaksudkan adalah hilangnya kuasa sesetengah pemimpin yang dibesar-besarkan kehebatan mereka, tetapi pada hakikatnya hanya indah khabar dari rupa. Janganlah disekat-sekat suara rakyat, dan usahlah dicabar kesabaran ahli.
Pada am-nya, malapetaka hanya akan berlaku sekiranya pemimpin hanya pandai bermain wayang, dan akhirnya orang Melayu akan terus hilang kepercayaan kepada UMNO.
Kesultanan Melayu Melaka hebat empayarnya. Tersohor di serata dunia ketika itu. Lama masanya, banyak tenga digunakan untuk membina sebuah empayar yang begitu hebat. Lihatlah pula pada empayar Rom, kerajaan Islam Sepanyol, tamadun Babylon di Mesopotamia (Iraq). Sebesar mana pun sebuah empayar, jika ditakdirkan ia jatuh, maka masa yang diambil hanya sedikit berbanding dengan masa untuk membina sebuah tamdun atau empayar.
UMNO besar jasanya. Pada agama, pada bangsa, pada tanah air. Bersama UMNO negara kita merdeka. Dengan UMNO sebagai teras, kemakmuran dan kemajuan negara kita tercapai. Negara kita pernah berada di landasan yang betul. Jangan kita izinkan hala tuju yang betul ini digugat oleh mana-mana pihak. Kepada pemimpin, katakanlah yang benar, walaupun pahit. Dan jangan cuma mengaku anda mendengar, dan boleh menerima nasihat sekiranya anda belum mampu mengenal diri anda sendiri. Apa yang anda katakan diingat oleh rakyat. Kami tidak mudah lupa lagi. Kami sudah mencuba pelbagai cara untuk mengingatkan diri kami supaya tidak mudah lupa, justeru dapat pula mengigatkan diri kami sendiri dan juga diri pemimpin (yang ikhlas dan sedia mendengar rintihan rakyat). Kami muak dengan muka ‘tidak ada apa yang berlaku’, ‘semuanya dalam keadaaan baik’ setelah beberapa insiden berlaku dalam tempoh beberapa tahun ini. Usahlah dicabar untuk rakyat menyuarakan suara melalui peti undi sekiranya pemimpin belum bersedia menerima hakikat dan belajar melalui kesilapan. Penulis khuatir, jika dicabar lagi maka lebih banyak undi protes yang muncul, dan hanya akan merugikan UMNO.
Sejajar dengan ajaran Islam, seorang muslim haruslah patuh dan taat kepada pemimpin. Sebagai contoh, seorang muslim dilatih mengikut dan dilarang mendahului imam baik dari segi perbuatan ataupun perkataan. Pun begitu, makmum dibenarkan menegur imam sekiranya terdapat kesalahan semasa imam mengerjakan solat, dan tidak pula perlu tunggu imam selesai melakukan solat yang penuh dengan kesilapan baru hendak ditegur.Jangan pula kita lupa, ajaran Islam juga mengajar kita supaya menjauhi kemungkaran dan kezaliman yang hanya bakal mengundang kebinasaan. Islam melarang kita melakukan perbuatan zalim, walaupun pada musuh kita. Secara am, zalim bererti meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Kalau memilih pemimpin, biarlah kena orangnya. Perlu diingatkan juga, Islam agama yang baik, yang melarang umatnya dari melakukan perbuatan keji seperti mengeluarkan kenyataan palsu, memutar belitkan kebenaran, memesongkan fakta, menggertak orang yang menyatakan kebenaran dan berusaha mematikan suara kebenaran atau memburukkan pihak lawan.
Saya dapati, sejak kebelakangan ini, ramai pemimpin UMNO yang tidak kurang hebatnya berbanding parti pembangkang dalam hal ehwal memburukkan lawan. Jika pembangkang dituduh UMNO sebagai gemar membuat serangan peribadi, melakukan pelbagai penyelewengan, dan sebagainya, cerminlah diri anda sekarang. Adakah rupa anda serupa seperti mereka yang anda tuduh? Atau mungkin lebih buruk daripada itu. Sedarlah, rakyat sudah pandai menilai. Jika pun anda tidak dapat melihatnya di cermin kamar anda,maka mata dan telinga rakyat khususnya ahli UMNO tidak akan menipu diri kami sendiri. Adalah menjadi lumrah, manusia suka pada kebendaan kerana manusia dapat melihat, mendengar , hatta dapat memegang apa yang dimiliki. Pun begitu, manusia juga suka pada sifat-sifat mahmudah, contohnya kebenaran. Seribu pembohongan tidak akan dapat mematikan suara kebenaran, insyaAllah. Sesungguhnya Allah S.W.T. bersama dengan golongan yang benar. Allah S.W.T. juga memakbulkan doa mereka yang teraniaya. Golongan yang rakus dan gilakan kuasa, ketahuilah bahawa anda tidak akan selesa selama-lamanya.
UMNO parti keramat orang Melayu. Orang Melayu tidak akan lupa jasa-jasa UMNO. Penulis percaya, meskipun banyak ahli UMNO yang mengundi pembangkang pada pilihanraya yang lalu, tetapi umumnya, rata-rata orang Melayu masih sayang pada UMNO. Ada yang setia pada UMNO sehidup semati, dan tidak kurang pula yang kasihnya pada UMNO cuma tinggal senipis kulit bawang. Orang UMNO pastinya tahu apa puncanya terhakisnya kepercayaan rakyat, termasuk orang Melayu terhadap UMNO. Ramai juga pemimpin yang sedar hakikat ini, tetapi tidak pasti seramai mana yang mampu menelan ubat yang pahit berbanding racun yang dicampur madu. Sekiranya UMNO, terutamanya pemimpin masih berfikiran, ‘ah, tak apa, merajuk sekejap sahaja, nanti eloklah tu’, saya khuatir, orang Melayu tidak akan menaruh apa-apa harapan lagi pada UMNO. Ingatlah, tragedi yang menimpa umat-umat terdahulu yang bongkak dan angkuh, yang dipupuskan dari muka bumi. Diciptakan pula bangsa lain yang lebih baik dari mereka bagi mentadbir negeri mereka. Saya bimbang, jika kemarau ini berpanjangan, dan hujan tidak turun dalam masa terdekat, UMNO juga akan pupus (walaupun UMNO bukan sebuah bangsa, tetapi asasnya UMNO itu terdiri dari orang Melayu), dan digantikan pula dengan parti lain yang lebih baik dan dipercayai rakyat selain dari UMNO. Sedarlah sebelum terlambat. Insaflah akan keadaan diri dan parti kita. Berhentilah berbohong kepada diri sendiri dan kepada rakyat. Sedarlah apa yang kita niat dalam hati, lakukan, dan ucapkan akan dicatat dan disoal di hari kemudian oleh yang Maha Kuasa. Tiada gunanya bila nasi menjadi bubur. Cegah sebelum parah. Sakit jika selepas terhantuk baru mengadah. Berjuang atas dasar kebenaran dan kesaksamaan, hapuskan pendustaan dan penindasan.
UMNO mesti terus dipertahankan ‘sehingga ke titisan darah terakhir’. Saya yakin sekiranya fenomena krisis kepercayaan rakyat dan orang Melayu kepada kerajaan dan UMNO dapat ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhemah, maka orang Melayu akan kembali kepada UMNO. Untuk tujuan ini, yang kita perlukan bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi; pemimpin yang bijaksana. Seorang pemimpin tidak perlu laungan slogan-slogan dan sorak-sorai dari ‘penyokong-penyokong’nya untuk menjadi orang yang bijak. Turunlah sendiri ke peringkat bahagian sekurang-kurangnya untuk mendengar rintihan rakyat. Jangan hanya harapkan laporan dari sesetengah pihak sahaja, yang lebih kepada memenuhi apa yang anda mahu dengar. Kemudian, nilailah sendiri jenis apakah gaya kepimpinan kita, samada berwibawa, cukup makan(mediocre), ‘sang pelakon’(pretender) atau hanya ‘syok’ sendiri(self-indulged)?
Seorang pemimpin yang berwibawa biasanya akan mendengar segala pandangan dan akhirnya membuat keputusan yang bernas tanpa dipengaruhi mana-mana faktor luaran, dan hasilnya semua pihak mendapat untung. Pemimpin yang ‘cukup makan’ pula kadang kala bersedia mendengar, tetapi kadang kala lebih bersedia memekakkan telinga dan agak ragu-ragu dalam membuat keputusan. Berlainan pula dengan pemimpin dalam kategori ‘sang pelakon’ di mana dia hanya berpura-pura bersedia mendengar, tetapi apabila diajukan pandangan, pelbagai pula alasan yang diberikan untuk tidak mendengar. Jika dia mendengar pun, ibarat masuk angin keluar asap. Pemimpin yang ‘syok’ sendiri pula mirip seorang pemimpin mediocre, tetapi yang membezakannya adalah adanya perantara, dinding, atau jurang yang menjarakkan dirinya dengan rakyat jelata. Dia hanya mendengar pandangan orang yang lebih hampir dengannya sahaja. Dan tidak hairan, semua yang didengar hanya yang baik-baik, jadi memang patutlah dia ‘syok’ sendiri.
UMNO perlu dijaga. Kestabilan politik, ekonomi, dan sosial juga perlu diberi perhatian. Kepentingan dan sensitiviti kaum lain juga perlu dihormati. Mereka juga manusia, bezanya cuma berlainan bangsa dan agama. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan, saya menganggap mereka sebagai saudara kita juga. Meskipun kebelakangan ini terdapat suara yang sedikit menyentuh sensitiviti kita, tetapi janganlah cepat melatah. Ini kerana, ada juga pihak tertentu yang menunggu untuk menjadikan ini batu loncatan dalam karier politik kotor mereka. Janganlah kita lupa pula jasa kaum lain dalam membina tamadun Malaysia.
Akhir kata, saya menyeru agar kita semua menginsafi sejarah UMNO dan Melayu. Jika tiada masa, sedikit pun tak mengapa. Fahamilah perjuangan UMNO. UMNO untuk orang Melayu, bukan untuk individu. Sayangilah UMNO, dan sayangilah pemimpin yang layak disayangi. Janganlah benci-membenci sesama kita,sebaliknya insafilah penubuhan UMNO, insyaAllah, UMNO akan pulih. UMNO, dulu, kini, selamanya. Hidup UMNO!!!