05 April 2008

Subsidi Petrol - Penstrukturan Semula Jenis Petrol Oleh Kerajaan Adalah Disokong.

Oleh Ard BSD

Harga petrol dijangka lebih murah. Begitulah tajuk satu laporan berita yang disiarkan di dalam Berita Minggu edisi 6-April-2008. Laporan ini menarik minat saya untuk memberi sedikit pandangan berhubung dengan subsidi petrol yang hangat diperbincangkan oleh pelbagai lapisan rakyat sana-sini serta penjelasan kerajaan tentang mengapa harga petrol semakin meningkat dan subsidi petrol dengan kos yang tinggi untuk mengurangkan harga petrol untuk kesejahteraan rakyat.

Laporan tersebut menyatakan kerajaan akan menstrukturkan semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa. Penstrukturan semula jenis petrol ini bakal memperkenal petrol RON95 dan RON99 bagi menggantikan petrol RON92 dan RON97. Petrol RON92 menjadi pilihan pengguna motosikal kerana harganya yang lebih murah berbanding petrol RON97 manakala kenderaan jenis lain memilih petrol RON97. Petrol RON95 akan menggantikan petrol RON92 dan RON97, dan kerajaan akan memberi lebih subsidi bagi petrol RON95 dengan matlamat dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pengenalan petrol RON99 yang lebih baik mutunya adalah dijangkan menjadi pilihan golongan berpendapatan mewah yang mementing kuasa pemanduan dan prestasi. Petrol RON99 juga akan disubsidikan oleh kerajaan tetapi pada nilai subsidi yang kecil.

Cadangan penstrukturan semula jenis petrol di pasaran negara ini adalah baik. Namun begitu, harga yang lebih baik adalah diharapkan oleh semua pengguna kenderaan bermotor terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Adalah juga diharapkan agar beban kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk subsidi petrol ini dapat dikurangkan. Sebarang penjimatan subsidi petrol ini dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia yang mementingkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek kehidupannya, cadangan ini boleh membentuk sikap rakyatnya semula terutama yang berpendapatan mewah agar tidak menjadi lebih tamak di dalam usahanya mengejar kekayaan dengan menagihkan subsidi yang sama yang perlu dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pada pandangan saya, kerajaan tidak perlu memberi subsidi petrol seperti petrol RON99. Kita memahami bahawa golongan berpendapatan mewah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan, namun begitu perlulah diingatkan bahawa itu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Golongan berpendapatan mewah juga perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan membantu kepada mereka yang memerlukan. Mereka seharusnya bersikap kesederhanaan dalam hidup mereka dan tidak perlu menunjukkan kekayaan mereka dan berlumba-lumba mencari kekayaan tanpa memikirkan tatacaranya.

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan tentang pemberian subsidi petrol ini kepada rakyat. Lantaran daripada cadangan penstrukturan semula jenis petrol itu, saya ingin menambah di sini iaitu kerajaan perlu memberi subsidi yang lebih tinggi kepada pengguna kenderaan bermotor keluaran negara seperti Proton, Perodua dan Modenas. Pemberian subsidi petrol kepada mereka yang memiliki dan menggunakan kenderaan keluaran negara ini akan merancakkan penjualan kenderaan tersebut di dalam negara dan seterusnya meningkat penguasaan pemasaran kenderaan keluaran negara. Kita sedia maklum akan kesan AFTA yang juga sedikit sebanyak mempengaruhi penguasaan pemasaran kenderaan nasional untuk bersaing dengan jenama yang sudah kuat di pasaran dunia. Kita berbangga dengan industri ini yang telah memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat serta ilmu pembikinan kenderaan dan pemasarannya untuk kita bersama meningkatkan ekonomi negara. Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengukuhkan industri kenderaan keluaran negara agar syarikat pengeluar kenderaan nasional dapat bernafas secukupnya untuk membuat penyelidikan dan meningkatkan teknologi, seterusnya boleh berdiri sama tinggi dengan pengeluar lain. Pada masa ini, saya masih tidak terfikir bagaimana satu mekanisme boleh diwujudkan untuk memberi subsidi petrol kepada pengguna yang menggunakan kenderaan keluaran negara. Mungkin kita boleh bersama-sama mengajukan satu cadangan kepada kerajaan. Semoga cadangan ini dapat mengurangkan beban kerajaan memberi subsidi petrol kepada rakyat.

Tambahan kepada sebarang langkah di dalam usaha kerajaan untuk menjimatkan wang untuk subsidi petrol, wang tersebut boleh digunakan untuk memberi subsidi tol lebuhraya. Rakyat negara terutamanya di Lembah Klang telah dibebani dengan tol semata-mata untuk kemudahan dan keselesaan rakyat menikmati penggunaan lebuhraya yang baik, bermutu dan selamat. Pada hemat saya, kerajaan boleh menggunakan penjimatan subsidi petrol untuk mengurangkan kos tol yang perlu ditanggung oleh rakyat. Rakyat tanpa mengira status pendapatan mereka terpaksa membayar pada kadar yang sama bagi jenis kelas kenderaan yang sama. Mereka yang berpendapatan tinggi yang mampu memiliki kereta seperti BMW, Mercedes dan sebagainya membayar nilai tol yang sama seperti mereka yang memandu kereta Perodua atau Proton. Maka adalah dicadangkan kepada kerajaan agar hasil penjimatan subsidi petrol dapat memberi subsidi tol kepada mereka yang menggunakan kenderaan keluaran negara.

Golongan berpendapatan tinggi tidak perlu resah dengan cadangan ini kerana adalah menjadi satu kewajipan kepada mereka yang kaya ini untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Golongan ini tentunya berpuashati dengan sumbangan jariah yang boleh membentuk sikap mereka menjadi manusia yang tidak tamak, menunjuk-nunjuk kekayaan dan kuasa, menyakiti golongan berpendapatan rendah dan seterusnya menjadi rakyat yang prihatin selaras dengan slogan “Masyarakat Penyayang”.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bagus juga cadangan anda ini tentang subsidi petrol oleh kerajaan untuk pemilik/pengguna kenderaan nasional. Saya amat bersetuju 100%